Tuesday, August 9, 2011

Bersedekah

Suatu hari semasa mengendalikan kerja, aku terpandang sebuah buku yang tajuknya agak menarik minatku. Buku yang bertajuk ajaibnya sedekah ini mengingatkan ak pada bondaku yang sering bermurah hati memberi sedekah tidak kira masa dan tempat sementara ak masih ragu - ragu untuk memberi sedekah kerana aku khuatir org yang meminta sedekah itu adakah benar - benar memerlukan atau sengaja berbuat - buat sakit untuk mengharap belas kasihan orang ramai. Pernah juga aku bertanyakan ibuku, "maa..kenapa pemurah sangat? Semua orang ma nk bagi duit sedangkan kita tak tahu asal usul dia atau dia sengaja buat - buat sakit untuk minta belas kasihan.Ibuku menjawab, tugas kita adalah untuk membantu antara satu sama lain dengan ikhlas, terpulanglah kepada mereka sama ada nak menipu atau tidak kerana Allah itu Maha Melihat. Jika kita berbuat kebaikan, maka kita akan dibalas dengan kebaikan begitu jugalah dengan peminta sedekah tersebut.

Sedekah sebenarnya berasal dari perkataan shadaqa yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam. Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas jika dibandingkan dengan infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan bukan material. Walaubagaimanapun,  kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah. Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.

Antara kelebihan bersedekah ialah:
1) Dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia
2) Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
3) Menyucikan jiwa dari sifat mazmumah seperti tamak, bakhil, kedekut dan mementingkan diri
4) Dipanjangkan umur dan mencegah ajal yang buruk (Husnul Khotimah)
  -Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan
   umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap
   sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya" (H.R. Tabrani)
5) Menolak bala bencana
   -Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat
     melangkahi sedekah" (H.R Al-Baihaqi)
6) Mendapat taufik dan hidayah Allah S.W.T
7) Mendapat ilmu yang bermanfaat

Namun begitu, marilah kita ambil sedikit panduan dan ikhtibar dari apa yang telah disingkapkan oleh Mazidul Akmal Sidik agar kita dapat memberi sedekah kepada golongan yang benar - benar memerlukan sekaligus dapat mengurangkan masalah peminta sedekah yang timbul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan..http://www.mazidulakmal.com/2011/08/lebih-mengelirukan-berbanding-entiti.html